KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini
atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia awal pagi
Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara.
Allahyarham yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru.
Jenazah akan dibawa ke Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail pada selepas
solat Subuh dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara
sebelum solat Zohor.
Allahyarham meninggalkan seorang anak, Aliff Omar.
Allahyarham telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada Selasa.
Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu
dan dimasukkan ke hospital susulan kesukaran bernafas awal pagi Isnin.
Sharifah Aini anak pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor
Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai
1953.
Titik tolak Kak Pah menjadi artis adalah selepas
menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga
Malam. Allahyarham kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan
terus bertahan dengan label itu selama 38 tahun.
Pernah
merakamkan 93 buah album termasuk 7 album Inggeris, antara lagu
popularnya termasuk Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung
dan Kau Tinggi Di Awan Biru.
Penyanyi itu juga pernah
berkolaborasi dengan beberapa penyanyi terkenal antaranya Latif Ibrahim,
Broery Marantika dan Sudirman Haji Arshad.
Selain menyanyi,
beliau juga merupakan pelakon filem Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva
Popular dan kemunculan terakhirnya dalam filem Penanggal pada tahun
lalu.
Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of
Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman
dan memiliki 135 album.
Sharifah Aini menerima gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006.
Al-Fatihah.

No comments:
Post a Comment